Doraemon, Ben 10, Naruto merupakan antara siri animasi popular dalam kalangan murid dan ibu bapa di negara kita.

Pengaruhnya besar tetapi masih gagal membuka minda kita - ibu bapa, guru dan murid - untuk terlibat secara langsung dan aktif dalam industri kreatif.

Dari dahulu hingga sekarang, majoriti tetap menjadikan doktor, jurutera dan peguam sebagai cita-cita atau kerjaya pilihan. Jarang yang mahu menjadi animator, penulis atau komposer walaupun kerjaya tersebut turut menawarkan pulangan yang lumayan.

Di Jepun animae merupakan industri yang bernilai bilion ringgit dan menjadi antara eksport utama negara matahari terbit itu. Kebanyakkannya adalah adaptasi daripada komik dengan judul yang sama.

Di Malaysia, kita ada Kampung Boy karya kartunis tersohor Datuk Lat. Ia telah dianimasikan dan disiarkan di saluran Astro Ceria. Sayangnya ia dihasilkan oleh produksi luar bukan oleh warga tempatan. Cuma baru-baru ini, Upin & Ipin diterbitkan dan mendapat sambutan hangat. Relatifnya industri ini masih baharu dan kecil jumlahnya.

Bagaimanapun, cabang seni lain seperti novel, filem, muzik dan buku telah berakar umbi sejak sekian lama tetapi belum mampu menerobos pasaran antarabangsa.

Kelebihan industri ini ialah pulangan berterusan dalam bentuk royalti. Contohnya penulis buku teks sekolah menerima royalti saban tahun tertakluk kepada syarat dan peraturan.

Justeru perspektif, sikap dan minda murid perlu dikembangkan agar tidak tertumpu kepada bidang sains sahaja. Hakikatnya bukan semua pintar sains dan boleh menjadi saintis.

Dalam hal ini, Naib Presiden Kreatif Multimedia Perbadanan Pembangunan Multimedia (MDeC), Kamil Othman mencadangkan supaya satu silibus berasaskan disiplin dokumentasi diperkenalkan untuk menyemai budaya kreatif dalam kalangan murid.


KAMIL OTHMAN

Menurut beliau, murid tahap satu sekolah rendah perlu menyiapkan tugasan berbentuk diari menceritakan aktiviti atau pengalaman yang telah dilalui sebagai rutin harian.

"Peristiwa itu mesti ditulis dalam bentuk berita dan secara lukisan," katanya ketika dihubungi Utusan baru-baru ini.

Dengan cara itu, guru boleh mengenal pasti potensi dan kebolehan murid. Seterusnya dorongan dan bimbingan oleh guru harus fokus mengikut kesesuaian, kecenderungan dan bakat murid berkenaan. Yang bijak bercerita mungkin sesuai jadi pelakon atau penulis manuskrip. Manakala yang berbakat melukis mungkin sesuai jadi pelukis komik atau kartunis.

Dengan pendekatan ini, kata Kamil, tidak mustahil untuk kita melahirkan ramai seniman sehebat Tan Sri P. Ramlee yang menghasilkan karya agung malar hijau sesuai untuk semua lapisan.

Seterusnya bakat dan kebolehan murid perlu diintegrasikan dengan kecanggihan teknologi maklumat dan komunikasi (ICT) untuk menghasilkan produk terbaik dan setanding dengan negara maju.

Bagaimanapun, Kamil menegaskan bahawa ICT hanyalah alat untuk menzahirkan idea dan kreativiti setiap murid.

"Semuanya bergantung kepada keupayaan manusia untuk mengaplikasikannya," ujarnya.

Sebagai tambahan, pertandingan bercerita secara digital - menggabungkan elemen multimedia seperti audio, video dan animasi - perlu diperkenal dan diperluaskan menggantikan format sedia ada.

Atas dasar dan semangat yang sama, Unit Pendidikan Utusan menganjurkan pertandingan EduDrama untuk mencungkil potensi dan bakat pelajar dalam bidang seni kreatif tanpa mengabaikan elemen pengajaran dan pembelajaran.

Maklumat lanjut untuk pertandingan ini, layari www.tutor.com.my.