OLEH : HAPIZAH AZIZ


FATIN Nabilah (empat dari kiri) meraikan kejayaan bersama rakan-rakan di Kota Bharu, baru-baru ini
.Amalan membaca al-Quran memberi ketenangan kepada dua pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan Agama (SMKA) Naim Lilbanat di sini bagi mengulang kaji pelajaran dan menghadapi peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM).

Fathin Nabilah Abdul Rashid, 18, dan Nurul Afiqah Che Mohd. Zaid, 18, yang muncul antara pelajar terbaik di Kelantan dengan pencapaian 13 1A dalam keputusan SPM 2008 menyatakan ketenangan banyak membantu bagi menghadapi tuntutan untuk mengejar kecemerlangan.

Turut memperoleh pencapaian yang setanding dalam keputusan yang diumumkan baru-baru ini ialah Adilah Tajuddin dari Sekolah Menengah Kebangsaan Agama Lati, Pasir Mas.

Fathin Nabilah berkata, dia memenuhi masa selepas maghrib untuk membaca al-Quran antara lapan hingga 10 helai sebelum berhenti untuk sembahyang isyak. Kemudian dia mengulang kaji pelajaran secara berkumpulan.

Katanya, dia sempat khatam al-Quran dua kali sepanjang membuat persediaan itu.

``Selain memberi tumpuan dalam kelas, kami juga membuat persediaan sendiri bersama rakan-rakan antara dua hingga tiga jam dan saya gembira mereka juga mendapat keputusan yang baik,'' ujarnya.

Anak bongsu kepada Dekan Pusat Pengajian Sains Pergigian (PPSG) Universiti Sains Malaysia (USM) Kampus Kesihatan, Prof. Madya Dr. Abdul Rashid Ismail bersyukur dengan pencapaiannya itu.

Dia mengambil mata pelajaran Bahasa Melayu, Bahasa Inggeris, Sejarah, Matematik, Matematik Tambahan, Bahasa Arab Tinggi, Fizik, Kimia, Biologi, Tasawwur Islam, Pendidikan al-Sunnah, Pendidikan Syariah Islamiah dan English For Science and Technology.

Rakannya, Nurul Afiqah pula berkata, dia menjadikan kejayaan dua orang kakak dan dua orang abangnya yang kini telah bekerja dan sedang melanjutkan pelajaran dalam bidang kejuruteraan, sebagai pendorong.

Dia yang bercita-cita untuk menjadi pegawai perubatan menceritakan, dia melihat mereka sering memberi tumpuan semasa dalam kelas dan meningkatkan kefahaman dengan membuat ulang kaji.

``Saya tahu tiada jalan ringkas untuk berjaya dalam apa perkara sekalipun. Ia memerlukan kegigihan dan ketabahan,'' jelas anak bongsu kepadaseorang ahli perniagaan.

Menurutnya, kejayaan yang diperoleh itu juga merupakan hadiah kepada ibu dan bapanya yang sentiasa memberi dorongan serta guru-guru yang begitu gigih untuk memastikan pelajar-pelajar mereka mencapai kecemerlangan.