Daripada D. Arul Rajoo
BANGKOK, 24 Mac (Bernama) -- Satu laporan yang dikeluarkan Unesco Selasa menyebut bahawa Malaysia menyediakan peruntukan paling tinggi, iaitu sebanyak 25 peratus daripada jumlah perbelanjaan awamnya, bagi tujuan pendidikan dan mencatat kemajuan besar ke arah mencapai matlamat Pendidikan Untuk Semua (EFA).Jajaran peruntukan daripada keseluruhan perbelanjaan kerajaan bagi tujuan pendidikan ialah antara sembilan peratus di Jepun dan 25 peratus di Malaysia dan Thailand, kata laporan itu.Laporan itu juga menyebut bahawa pada 2006, peratusan median keluaran negara kasar (KNK) yang diperuntukkan terhadap bidang pelajaran berjumlah 3.6 peratus di Asia Timur, dengan Kemboja memperuntukkan 1.8 peratus, berbanding 6.6 peratus oleh Malaysia dan 4.7 peratus oleh Australia.Ketua Pengarah Unesco Koichiro Matsuura berkata apabila sistem kewangan menemui kegagalan, kesannya amat ketara dan kerajaan pun segera bertindak, tetapi tidak demikian halnya apabila bidang pendidikan mengalami kegagalan."...tapi, ada satu perkara yang cukup nyata.


Peluang yang tidak sama rata dalam bidang pendidikan boleh menyebabkan wujudnya kemiskinan, kelaparan dan kematian bayi serta mengurangkan peluang pertumbuhan ekonomi. Sebab itulah, dalam hal ini, kerajaan perlu mengambil tindakan segera," katanya.Malaysia juga adalah antara negara yang mencatat peningkatan jumlah tenaga pendidikan paling tinggi di rantau ini dengan pertambahan lebih 30 peratus sejak 1999, kata laporan itu.Unesco berkata Asia Timur dan Pasifik mempunyai hampir 13 peratus daripada penduduk yang tercicir daripada alam persekolahan pada 2006 dengan 9.5 juta kanak-kanak tidak mendaftar untuk ke sekolah, yang mencerminkan peningkatan sebanyak 3.5 juta sejak 1999.Laporan itu berkata 75 juta kanak-kanak dalam peringkat umur bersekolah rendah, tidak bersekolah di seluruh dunia, termasuk lebih kurang satu pertiga daripada kumpulan umur serupa di sub-Sahara Afrika.Kanak-kanak ini dinafikan peluang untuk menjejakkan kaki di tempat yang boleh memberikan mereka kemahiran dan ilmu untuk melepaskan diri daripada belenggu kemiskinan, kata laporan itu.



Unesco berkata Malaysia, Kemboja, Myanmar dan Korea Selatan mencatat kemajuan luar biasa dalam usaha mengurangkan jumlah kanak-kanak yang tidak bersekolah, tetapi jumlah kanak-kanak yang tidak berpeluang menikmati kemudahan pendidikan, meningkat di Kepulauan Cook, Fiji, Filipina dan Vanuatu.Laporan itu juga menyebut bahawa hampir semua kanak-kanak di Malaysia, Brunei dan Korea menamatkan pelajaran di peringkat sekolah rendah, berbanding 55 peratus di Kemboja dan 62 peratus di Laos.Mengenai kanak-kanak yang telah menamatkan pelajaran di peringkat sekolah rendah, Unesco berkata jumlah kanak-kanak perempuan yang melanjutkan pelajaran ke sekolah menengah adalah kurang berbanding kanak-kanak lelaki dan kadar kanak-kanak yang melanjutkan pelajaran ke peringkat menengah ialah kira-kira 90 peratus di Malaysia, Fiji, Filipina dan Korea.Laporan itu berkata hasil pemantauan terbaru menunjukkan wujudnya prasarana dan kualiti pendidikan yang tidak memuaskan di 11 negara membangun, termasuk Malaysia dan Filipina."Walaupun Malaysia memiliki sekolah terbaik daripada segi kemudahan, separuh atau lebih separuh daripada jumlah pengetua sekolah di Filipina berkata sekolah mereka perlu dibina semula sepenuhnya atau sesetengah bilik darjah perlu dibaik pulih secara besar-besaran," kata laporan itu.Daripada segi kemudahan asas untuk belajar pula, hanya 20 peratus kanak-kanak atau kurang daripada jumlah itu, belajar di sekolah yang tidak mempunyai perpustakaan di Malaysia, manakala di Filipina, separuh daripada jumlah pelajarnya menuntut di sekolah yang tidak dilengkapi perpustakaan dan lebih kurang sama jumlahnya, tidak mempunyai buku teks.-- BERNAMA